Isnin, 21 September 2026
Terkini
Sarawak

Anak Sarawak Buru Sejarah Di Jepun, Jonah Intai Rekod Baharu Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Dari bumi Sarawak ke gelanggang terbesar Asia, jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, kini berdiri di ambang satu lagi detik penting dalam kariernya apabila turun membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Pemegang rekod kebangsaan berusia 23 tahun itu bukan sekadar menuju ke Jepun untuk melengkapkan penampilan sulungnya di Sukan Asia.

Sebaliknya, anak Sarawak itu hadir dengan kemampuan yang sudah dibuktikan dengan melepasi tembok 19 meter dan kini memburu jarak lebih jauh.

Jurulatih peribadinya, Frantisek Petrovic, percaya Jonah mempunyai segala kemampuan untuk sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri apabila beraksi pada 26 September ini.

Keyakinan Petrovic bersandarkan perkembangan luar biasa anak didiknya itu yang semakin matang dan berani berdepan tekanan pertandingan antarabangsa.

Jonah sudah membuktikannya apabila melakukan lontaran sejauh 19.12 meter pada Qosanov Memorial di Kazakhstan, Jun lalu, sekali gus mencipta rekod kebangsaan baharu.

Catatan itu menjadi bukti bahawa angka 19 meter bukan lagi sekadar sasaran buat Jonah. Ia sudah ditaklukinya.

“Dia bukan menghampiri 19m, dia sudah melakukannya. 19.12m itu adalah yang pertama dan anda boleh lihat perkembangannya. Dia sedang meningkat naik,” kata Petrovic ketika ditemui media sebelum berlepas ke Jepun.

ANAK SARAWAK SEMAKIN MENGGANAS DI PENTAS ANTARABANGSA

Apa yang lebih meyakinkan Petrovic ialah kemampuan Jonah menghasilkan prestasi terbaik ketika berdepan pencabar berkualiti dari negara lain.

Sepanjang tahun ini, atlet kelahiran Sarawak itu memperlihatkan peningkatan memberangsangkan, termasuk muncul juara Kejohanan Olahraga Terbuka New Taiwan sebelum meledakkan lontaran 19.12m di Kazakhstan.

Bagi Petrovic, keputusan itu memperlihatkan satu karakter penting dalam diri Jonah dimana dia tidak mudah tenggelam apabila tekanan semakin tinggi.

Sebaliknya, persaingan sengit seakan-akan membangkitkan kemampuan terbaiknya.

“Anda boleh lihat keputusannya tahun ini. Dia beraksi paling baik apabila bertanding dengan saingan sebenar, terutama di peringkat antarabangsa. Dia menang di Taiwan dan mencipta rekod kebangsaan di Kazakhstan,” katanya.

Kini cabarannya jauh lebih besar. Sukan Asia.

Pentas yang menghimpunkan antara atlet terbaik benua dan medan yang bakal menguji bukan sahaja kekuatan fizikal Jonah, tetapi ketahanan mental seorang anak muda Sarawak yang kini membawa harapan negara.

19.12M BELUM PENGHUJUNG

Petrovic percaya rekod kebangsaan 19.12m itu masih belum menggambarkan had sebenar kemampuan Jonah.

Menurutnya, atlet berkenaan sudah bersedia menghasilkan lontaran lebih jauh, namun kejayaan di Jepun bergantung kepada kemampuannya menyesuaikan diri dengan cuaca, tekanan serta suasana pertandingan.

“Dia memang sudah bersedia untuk itu. Ia bergantung kepada bagaimana dia menyesuaikan diri dengan faktor cuaca, tekanan dan gangguan di sana. Ini penampilan pertamanya di Sukan Asia,” katanya.

Di sinilah Jonah bakal berdepan ujian sebenar. Setiap sentimeter akan menjadi pertarungan.Setiap lontaran membawa tekanan.

Dan hanya satu lontaran terbaik diperlukan untuk mengubah sekali lagi angka dalam buku rekod olahraga Malaysia.

JURULATIH TIADA DI SISI, PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN

Cabaran Jonah kali ini turut hadir dengan situasi berbeza apabila Petrovic tidak dapat berada bersamanya di Jepun selepas jurulatih berusia 61 tahun itu tidak tersenarai dalam kuota pasukan.

Namun, jarak ribuan kilometer tidak akan memutuskan hubungan antara jurulatih dan atlet.

Petrovic akan terus membimbing Jonah setiap hari menerusi WhatsApp dan panggilan video bagi memastikan persediaannya kekal berada pada landasan terbaik.

“Setiap hari, WhatsApp dan panggilan video, tiada masalah,” katanya.

Ketiadaan Petrovic di tepi gelanggang menjadikan cabaran di Jepun lebih besar, tetapi pada masa sama membuka peluang kepada Jonah membuktikan kematangan serta kekuatan mental yang dibentuk sepanjang bertahun-tahun menjalani latihan.

DARI BUMI KENYALANG, MEMBAWA NAMA MALAYSIA

Bagi Sarawak, perjalanan Jonah mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar angka pada papan keputusan.

Ia adalah kisah seorang anak Bumi Kenyalang yang perlahan-lahan membina namanya sehingga kini berdiri sebagai pemegang rekod kebangsaan Malaysia.

Daripada Sarawak, Jonah kini melangkah ke Jepun membawa Jalur Gemilang dan cabaran negara berdepan kelompok terbaik Asia.

Pada usia hanya 23 tahun, perjalanan itu juga menjadi gambaran potensi besar atlet Sarawak apabila bakat, disiplin dan peluang bertemu pada landasan yang tepat.

Kini angka 19.12m menanti untuk dicabar.

Pada 26 September nanti, apabila Jonah memasuki bulatan lontaran di Jepun dan menggenggam peluru besi di tangannya, jutaan mata mungkin melihat seorang atlet Malaysia.

Namun bagi rakyat Sarawak, mereka akan melihat seorang anak Bumi Kenyalang membawa nama tanah kelahirannya ke pentas Asia.

Satu lontaran boleh menentukan segalanya. Satu lontaran boleh melahirkan rekod baharu dan satu lontaran mungkin cukup untuk sekali lagi membuat nama SARAWAK bergema di pentas sukan Asia.

Dari Sarawak untuk Malaysia, Jonah kini memburu sejarah.

#JonahChangRigan #AnakSarawak #BumiKenyalang #KebanggaanSarawak #SarawakBoleh #SukanAsia2026 #AichiNagoya2026 #TeamMalaysia #MalaysiaBoleh #OlahragaMalaysia #LontarPeluru #AnakBorneo #TheGreatHornbill

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Sarawak