Ahad, 1 November 2026
Terkini
Sarawak

RM650 Juta Diperuntukkan Bagi SKAS Dalam Belanjawan Sarawak 2027

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM650 juta di bawah cadangan Belanjawan Sarawak 2027 bagi meneruskan pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif berkenaan menyediakan bantuan kewangan kepada golongan yang layak, merangkumi isi rumah B40, warga emas dan individu bujang.

Menurut beliau, di bawah SKAS, isi rumah B40 akan menerima RM1,100, manakala warga emas menerima RM600 dan individu bujang menerima RM375, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

“Langkah ini menyediakan bantuan segera, memastikan keluarga dapat memenuhi keperluan asas mereka dengan maruah dan kestabilan.

“Untuk tujuan ini, peruntukan RM650 juta disediakan di bawah Belanjawan 2027,” katanya ketika membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri turut diterjemahkan kepada langkah yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Selain SKAS, Abang Johari berkata kerajaan turut memperuntukkan RM15 juta bagi Endowment Fund Sarawak (EFS) dan RM5 juta bagi Bantuan Ibu Bersalin (BIB).

Menurut beliau, kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan ibu dan kanak-kanak sebagai asas kepada pembentukan keluarga serta komuniti yang sihat dan sejahtera.

Dalam memperkukuh perlindungan sosial bagi golongan rentan, sebanyak RM45.9 juta turut diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak bagi membiayai pelbagai bentuk bantuan kebajikan.

Ia merangkumi antaranya Bantuan Am, Bantuan Belia-Beliawanis, Bantuan Kanak-Kanak serta Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Tidak Berupaya Bekerja.

Kerajaan Sarawak turut menyediakan RM13.6 juta bagi Bantuan Bencana untuk memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada rakyat yang terjejas ketika berlaku musibah, termasuk bagi keperluan makanan, tempat tinggal dan pendidikan.

Dalam aspek pengangkutan awam pula, kerajaan akan meneruskan Subsidi Tambang Bas Henti-Henti bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam kekal mampu milik dan boleh diakses oleh rakyat.

Melalui inisiatif berkenaan, tambang bas dikekalkan pada kadar RM1 bagi setiap perjalanan, manakala pas bulanan perjalanan tanpa had ditawarkan pada kadar RM31.

Bagi meneruskan subsidi tersebut serta membantu mengurangkan kos perjalanan harian rakyat, sebanyak RM8.5 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan Sarawak 2027.

Keseluruhan peruntukan berkenaan memperlihatkan pendekatan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari yang memberi penekanan kepada pembangunan seimbang antara pertumbuhan ekonomi, pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial.

Pada masa sama, langkah itu mencerminkan usaha kerajaan memastikan manfaat daripada kedudukan kewangan dan pembangunan Sarawak dapat disalurkan kembali kepada rakyat menerusi bantuan bersasar, khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas, golongan rentan serta mereka yang memerlukan sokongan.

Pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan Sarawak kekal inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, seiring usaha negeri menuju status maju dan berpendapatan tinggi.

#BelanjawanSarawak2027 #SKAS #SumbanganKeperluanAsasSarawak #AbangJohari #PremierSarawak #KerajaanSarawak #KebajikanRakyat #KesejahteraanRakyat #SarawakMajuMakmur #SarawakUntukRakyat

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Sarawak