10,600 Pelajar Sarawak Bakal Nikmati FTES Pada 2027, Kerajaan Negeri Peruntuk RM200 Juta

KUCHING: Seramai 10,600 pelajar Sarawak dijangka menerima manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) pada 2027, dengan Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata FTES merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memastikan anak Sarawak memperoleh akses kepada pendidikan tinggi berdasarkan merit dan keupayaan tanpa dibatasi latar belakang kewangan keluarga.
Menurut beliau, skim yang mula dilaksanakan tahun ini menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak yang mengikuti 64 program ijazah sarjana muda di empat universiti milik Kerajaan Sarawak.
“FTES yang dilancarkan pada tahun ini merupakan satu inisiatif transformatif yang dirangka untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah berdasarkan merit dan keupayaan, tanpa dibatasi oleh latar belakang kewangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Pelaksanaan FTES mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari untuk menjadikan pendidikan sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan serta menyediakan generasi muda negeri ini menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.
Dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM29 juta kepada SeDidik bagi keperluan operasi dan pembangunan sepanjang 2027.
Selain itu, sebanyak RM14 juta disediakan sebagai Geran Khas Tahunan kepada semua pusat pendidikan awal kanak-kanak berdaftar di Sarawak.
Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM4 juta bagi subsidi yuran tadika dan taska untuk kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan bulanan RM7,000 dan ke bawah.
Pada masa sama, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Bas Sekolah Percuma untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan kemudahan pengangkutan ke sekolah di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Sebanyak RM4 juta juga disediakan bagi Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah yang menawarkan baucar RM200 kepada pelajar yang layak untuk membantu keluarga menampung kos pakaian seragam, kasut dan beg sekolah,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta kompetensi pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kerajaan negeri turut menyediakan RM1 juta bagi meneruskan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah Sarawak pada 2027.
Keseluruhan peruntukan berkenaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Sarawak dalam pembangunan pendidikan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Langkah itu juga sejajar dengan aspirasi kepimpinan Abang Johari untuk membangunkan modal insan Sarawak yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing, selain memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak Sarawak untuk memperoleh pendidikan berkualiti.
#TheGreatHornbill #BelanjawanSarawak2027 #AbangJohari #PremierSarawak #FTES #PendidikanPercuma #PendidikanSarawak #AnakSarawak #STEMSarawak #SarawakMajuMakmur #MasaDepanSarawak
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan