Selasa, 3 November 2026
Terkini
Sarawak

Abang Johari Bina Masa Depan Anak Sarawak – Majlis Pendidikan Sarawak Bakal Ditubuhkan

KUCHING: Pendidikan bukan sekadar tentang sekolah, peperiksaan atau segulung sijil. Ia adalah tentang masa depan anak-anak Sarawak, tentang peluang seorang anak di bandar mahupun pedalaman untuk berdiri sama tinggi dengan generasi terbaik dunia.

Atas kesedaran itu, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengambil satu lagi langkah besar dengan menubuhkan Majlis Pendidikan Sarawak, sebuah platform strategik yang bakal menyelaras hala tuju pendidikan negeri dengan keperluan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Pengumuman itu dibuat Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Penubuhan majlis berkenaan membawa mesej yang cukup jelas, Sarawak mahu memastikan sistem pendidikannya bergerak seiring dengan transformasi ekonomi negeri dan setiap anak Sarawak diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Majlis Pendidikan Sarawak akan menyelaras pendidikan menengah, pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan guru serta pendidikan tinggi dengan keperluan tenaga mahir bagi industri strategik Sarawak.

Menurut Abang Johari, langkah itu turut memudah cara pembangunan pendidikan antarabangsa dan pendidikan tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pendidikan serantau yang mampu menarik pelajar serta tenaga mahir dari luar.

Di bawah Belanjawan Sarawak 2027, sebanyak RM454.34 juta diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat.

Angka itu bukan sekadar peruntukan di atas kertas. Di sebaliknya terdapat harapan ribuan keluarga Sarawak yang mahu melihat anak-anak mereka memperoleh pendidikan lebih baik, kemahiran yang relevan dan peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Bagi memperkukuh pendidikan antarabangsa, kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi operasi, pembangunan pelajar dan peluasan penyampaian pendidikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

Pada masa sama, RM38 juta melalui Pembiayaan Alternatif disediakan bagi mewujudkan kampus Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Bintulu dan Miri, melengkapi kampus sedia ada di Kuching dan Sibu.

Ini bermakna akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa tidak seharusnya tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya diperluaskan supaya lebih ramai anak Sarawak berpeluang menikmatinya.

Lebih menyentuh hati ialah perhatian kerajaan terhadap pelajar yang masih bergelut dalam pembelajaran.

Melalui Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), kerajaan akan menyediakan tuisyen percuma dan sokongan akademik kepada pelajar Tingkatan Tiga hingga Tingkatan Lima yang kurang mencapai prestasi memuaskan.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan pada 2027, dengan kira-kira 113,000 pelajar daripada 186 sekolah menengah melibatkan 30 Pejabat Pendidikan Daerah dijangka menerima manfaat.

Inilah pendekatan yang membawa makna besar kepada sebuah kerajaan yang mahu membawa rakyatnya maju bersama dimana anak yang cemerlang diberikan ruang untuk terus terbang tinggi, manakala mereka yang masih ketinggalan tidak dibiarkan berjuang sendirian.

Mereka dibimbing dan diberikan peluang untuk bangkit.

Abang Johari juga mahu pendidikan Sarawak bergerak seiring dengan dunia pekerjaan sebenar.

Kerajaan akan terus memperluas rangkaian institusi latihan teknikal menerusi Sarawak Skills, Kolej Universiti i-CATS, CENTEXS dan Kolej Laila Taib.

Sebanyak RM121.5 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi institusi berkenaan, manakala RM13 juta lagi disediakan untuk inisiatif pembangunan termasuk perbelanjaan modal Sarawak Skills, Pusat Latihan Automotif Lanjutan di CENTEXS serta menaik taraf kampus Institut Latihan Vokasional Pertanian Sarawak (SAVTI).

Kerajaan turut memperuntukkan RM4.5 juta untuk Program Bakat Digital dan Inovasi NextGen serta Program Percepatan Bakat Digital dan Inovasi Sarawak.

Langkah ini memperlihatkan bagaimana pentadbiran Abang Johari bukan sekadar mahu melahirkan graduan, tetapi mahu melahirkan anak Sarawak yang memiliki kemahiran untuk merebut pekerjaan dalam ekonomi baharu termasuk teknologi digital, automasi dan industri strategik.

Di sebalik cita-cita besar membina ekonomi moden, nasib sekolah yang memerlukan kemudahan lebih baik turut diberikan perhatian.

Abang Johari menegaskan kerajaan tetap komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada guru serta pelajar.

Selain komitmen RM1 bilion, dengan RM700 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai bayaran pendahuluan bagi pinjaman Persekutuan, sebanyak RM29 juta lagi disediakan pada 2027 untuk pembangunan semula atau kerja menaik taraf segera empat sekolah.

Sekolah terbabit ialah SMK Gedong, SK Sageng, SJKC Tong Ah dan SK Tupong.

Ia membawa satu prinsip yang konsisten iaitu pembangunan pendidikan Sarawak tidak boleh hanya kelihatan hebat di bandar, tetapi mesti dirasai sehingga ke sekolah yang memerlukan bantuan dan pembaharuan.

Perjalanan seorang anak muda tidak berakhir selepas menerima ijazah.

Cabaran sebenar sering bermula apabila mereka cuba mendapatkan pekerjaan pertama.

Sebab itu Kerajaan Sarawak meneruskan Program Latihan Peningkatan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Tempat Kerja (GETS) selepas 61 peratus graduan yang menyertainya berjaya memperoleh pekerjaan setakat Julai tahun ini.

Di bawah program tersebut, peserta menerima elaun RM1,500 sebulan, latihan di tempat kerja, kemahiran, pensijilan yang diiktiraf industri serta latihan kepimpinan dan pembinaan pasukan.

Sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi meneruskan GETS pada 2027 dengan 1,000 graduan dijangka menerima manfaat.

Keseluruhan RM454.34 juta yang diperuntukkan bagi pendidikan dan pembangunan bakat membawa satu mesej besar mengenai arah perjalanan Sarawak.

Abang Johari sedang menyediakan bukan sahaja infrastruktur untuk membangunkan negeri, tetapi juga modal insan yang akan mengisi pembangunan tersebut.

Jalan raya boleh dibina. Jambatan boleh didirikan. Industri baharu boleh diwujudkan. Teknologi boleh dibawa masuk.

Namun akhirnya, anak Sarawak sendirilah yang mesti mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menguasainya.

Penubuhan Majlis Pendidikan Sarawak memperlihatkan usaha untuk menyatukan pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan bakat dan keperluan industri di bawah satu hala tuju yang lebih tersusun.

Daripada seorang pelajar yang memerlukan tuisyen tambahan, seorang remaja yang bercita-cita mempelajari STEM, pelajar sekolah antarabangsa, penuntut TVET sehinggalah graduan yang sedang mencari pekerjaan pertama dimana setiap lapisan generasi muda diberikan tempat dalam perancangan tersebut.

Inilah pelaburan yang hasilnya mungkin tidak semuanya dapat dilihat hari ini, tetapi kesannya boleh menentukan wajah Sarawak untuk puluhan tahun akan datang.

Kerana bagi Abang Johari, kekayaan sebenar Sarawak bukan hanya terletak pada minyak, gas, tenaga atau sumber alamnya.

Kekayaan paling bernilai ialah anak-anak Sarawak yang berilmu, berkemahiran, yakin dan mampu menentukan masa depan negeri mereka sendiri.

#AbangJohari #PremierSarawak #SarawakMajuMakmur #MajlisPendidikanSarawak #BelanjawanSarawak2027 #PendidikanSarawak #AnakSarawak #MasaDepanSarawak #STEMSarawak #TVETSarawak #SEEP #GETS #Sarawak2030 #PCDS2030 #SarawakUntukSemua #TheGreatHornbill

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Sarawak