Sarawak Teroka Potensi Telaga Minyak Daratan Baharu Di Marudi

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor minyak dan gas negeri dengan meneroka potensi pembangunan lebih banyak telaga minyak daratan di sekitar Adong Kechil West, dekat Marudi, susulan hasil pengeluaran semasa yang menunjukkan prospek ekonomi memberangsangkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebuah telaga di kawasan berkenaan kini menghasilkan kira-kira 800 tong minyak sehari, dengan nilai dianggarkan sekitar RM8 juta sebulan atau RM96 juta setahun berdasarkan harga minyak semasa.
Menurut beliau, pencapaian daripada sebuah telaga itu menunjukkan kawasan sekitar Adong Kechil West mempunyai potensi lebih besar untuk diteroka dan dibangunkan pada masa hadapan.
“Pengeluaran minyak di Adong Kechil West dekat Marudi ialah 800 tong sehari bersamaan RM8 juta sebulan berdasarkan harga sekarang iaitu bersamaan RM96 juta setahun, hanya daripada satu telaga.
“Kita sebenarnya mempunyai banyak lagi telaga berpotensi di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dijangka membangunkan sebuah lagi telaga pada pertengahan tahun depan bagi membekalkan gas kepada Stesen Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri.
Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak berkata, PETROS turut merancang menggerudi telaga penerokaan di Kuala Baram yang dikenal pasti mempunyai potensi menggalakkan bagi pengeluaran gas.
Pada masa sama, PETROS sedang membangunkan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju, dekat Bintulu.
Menurut Premier, projek berkenaan dijangka membolehkan Samalaju menerima bekalan gas apabila pembinaan saluran paip itu siap pada penghujung tahun ini.
Pelaksanaan projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas Kerajaan Sarawak menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak bagi memastikan sumber minyak dan gas negeri dapat dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan industri serta merangsang pertumbuhan ekonomi di lebih banyak kawasan.
Sarawak turut memperkukuh infrastruktur tenaga menerusi pembangunan terminal gas asli cecair (LNG) di Tanjung Embang sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching, susulan kerjasama antara PETROS dengan Höegh Evi.
Selain pembangunan sektor minyak dan gas, kerajaan negeri terus memanfaatkan kelebihan Sarawak dalam sumber tenaga boleh baharu, khususnya tenaga hidro, bagi menarik pelaburan dalam industri yang memerlukan bekalan tenaga bersih dalam jumlah besar pada harga kompetitif.
Langkah bersepadu itu mencerminkan pendekatan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari untuk memanfaatkan sumber tenaga negeri secara strategik, bukan sahaja melalui pengeluaran minyak dan gas, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan industri, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Potensi di Adong Kechil West sekali gus membuka ruang baharu kepada pembangunan sektor minyak daratan Sarawak, dengan hasil sumber negeri berpotensi memberi nilai tambah lebih besar kepada ekonomi serta pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
#Sarawak #AbangJohari #PremierSarawak #PETROS #AdongKechilWest #Marudi #MinyakSarawak #GasSarawak #SarawakGasRoadmap #TenagaSarawak #EkonomiSarawak #PembangunanSarawak #SarawakMajuMakmur #TheGreatHornbill
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan