Hakim Danish Lonjak 9 Kedudukan, Tamat GP Jepun Di Tempat Ke-12

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya melonjak sembilan kedudukan untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-12 di Litar Motegi, hari ini.
Bermula dari petak ke-21, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan ketenangan dan konsistensi sepanjang 17 pusingan perlumbaan sebelum berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 12 terbaik.
Keputusan tersebut membolehkan Hakim Danish membawa pulang empat mata berharga, sekali gus meneruskan kutipan mata dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3.
Hakim Danish menamatkan perlumbaan 21.273 saat di belakang pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, yang muncul juara dengan catatan masa 32 minit 45.54 saat.
Pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas hanya ketinggalan 0.046 saat di belakang Almansa, manakala Alvaro Carpe daripada Red Bull KTM Ajo melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Pencapaian Hakim Danish di Motegi lebih bermakna selepas pelumba muda negara itu mengharungi persiapan yang mencabar apabila terjatuh sebanyak tiga kali sepanjang sesi latihan pada Jumaat dan Sabtu.
Meskipun turut berdepan ketidakselesaan pada bahunya ketika perlumbaan, Hakim Danish tetap meneruskan saingan dan berjaya memperbaiki kedudukannya secara berperingkat.
“Secara keseluruhan, perlumbaan yang begitu sukar bagi saya selepas tiga kali jatuh pada sesi hari Jumaat dan juga Sabtu. Tapi apa pun, dalam perlumbaan tadi saya cuba untuk menamatkan perlumbaan dengan baik bagi mendapatkan kedudukan yang terbaik di mana akhirnya saya raih tempat ke-12.
“Kebiasaannya di awal perlumbaan, setiap pelumba cuba mencari ruang untuk pergi ke hadapan dan saya cuba juga untuk mencari ruang memotong, tetapi agak tipis.
“Saya kemudian dapat mengawal segala situasi dengan baik dan meningkatkan kelajuan untuk mengejar kelompok depan,” katanya.
Hakim Danish berkata, tumpuannya kini beralih kepada pusingan seterusnya di Indonesia sambil berharap keadaan bahunya dapat pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi.
“Saya amat menantikan perlumbaan seterusnya di Indonesia dan akan cuba untuk pulih sepenuhnya daripada rasa sakit di bahu. Ketika perlumbaan tadi saya rasa agak kurang selesa,” katanya.
Sementara itu, pelumba Indonesia, Veda Pratama yang mewakili Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 untuk meraih lima mata.
Dengan tambahan empat mata dari GP Jepun, Hakim Danish kini mengumpul 105 mata dan kekal di tangga ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.
Prestasi di Motegi itu turut memperlihatkan keupayaan pelumba muda negara berkenaan untuk bangkit daripada permulaan hujung minggu yang sukar dan terus bersaing merebut mata di pentas kejuaraan dunia.
#HakimDanish #HakimDanishRamli #Moto3 #GPJepun #JapaneseGP #Motegi #MotoGP #MalaysiaMotorsport #MalaysiaBoleh #AnakMalaysia #RoadToMotoGP #MotorsportMalaysia #NextStopIndonesia
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan