DR SIM: Stem Kunci Bina Generasi Masa Depan Sarawak

KUCHING: Masa depan Sarawak sebagai negeri maju bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan teknologi, tetapi kepada keupayaan melahirkan generasi yang menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) bukan sekadar meningkatkan kesedaran alam sekitar, malah mampu mencetuskan kreativiti, sifat ingin tahu dan minat terhadap sains dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, isu seperti pencemaran, pengurusan sisa, kekurangan air dan perubahan iklim boleh dijadikan medan pembelajaran sebenar untuk menunjukkan bagaimana sains digunakan dalam kehidupan seharian.
“Tidak memadai sekadar mengatakan bahawa kita mahu meningkatkan penyertaan dalam STEM. Tidak cukup hanya dengan menunjukkan video.
“Pelajar perlu mempraktikkan apa yang mereka pelajari, menyiasat perkara-perkara kecil dan memahaminya. Kemudian mereka akan mula berkata, ‘Oh, ini sebenarnya sains’,” katanya.
Dr Sim berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Sesi 2025/2026, sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2026 Peringkat Negeri di Auditorium SMK St Joseph, di sini.
Beliau menegaskan, penguasaan STEM amat penting dalam membentuk masa depan Sarawak kerana negeri yang mahu terus maju memerlukan lebih ramai doktor, jurutera, saintis serta tenaga profesional berkemahiran tinggi.
“Tiada negara di dunia yang boleh menjadi negara maju tanpa mencapai kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Tanpa STEM, kita tidak dapat melahirkan doktor,” tegasnya.
Bagi Dr Sim, SLAAS juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan dan pembinaan masa depan masyarakat melalui kreativiti, pembentukan tabiat serta pemahaman terhadap sains.
Pada majlis itu, SK Abang Abdul Rahman, Saratok muncul juara Kategori Sekolah Rendah, manakala SMK St Joseph, Kuching menjuarai Kategori Sekolah Menengah. Kedua-duanya menerima RM3,000, trofi dan sijil.
Mesej Dr Sim jelas, minat terhadap STEM mungkin bermula daripada persoalan kecil di sekolah, tetapi daripada rasa ingin tahu itulah boleh lahir doktor, jurutera, saintis dan pencipta yang akan membentuk Sarawak pada masa hadapan.
#DrSimKuiHian #Sarawak #STEMSarawak #STEM #AnakSarawak #SLAAS2026 #SekolahLestari #PendidikanSarawak #GenerasiMasaDepan #SainsDanTeknologi #ModalInsanSarawak #Kelestarian #MasaDepanSarawak
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan