Sabtu, 31 Oktober 2026
Terkini
Sarawak

Sarawak Perlukan 5,800 Lagi Petugas Kesihatan, Termasuk 1,250 Doktor

Dr Sim gesa kuasa pengambilan diperkasa agar Sarawak tidak terus bergantung kepada keputusan di peringkat pusat

KUCHING: Sarawak memerlukan tambahan kira-kira 5,800 tenaga kerja kesihatan, termasuk 1,250 doktor, bagi menangani jurang sumber manusia dan memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negeri yang berdepan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata keperluan itu dikenal pasti susulan penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap tujuh hospital di Sarawak pada tahun lalu.

Menurut beliau, kekurangan sumber manusia kini menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani sekiranya Sarawak mahu membangunkan sistem kesihatan yang lebih kukuh, cekap dan mampu memenuhi keperluan rakyat di seluruh negeri.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak meminta Kerajaan Persekutuan memberikan kuasa khas kepada Sarawak untuk mengambil dan menggaji sendiri tenaga kerja kesihatan yang diperlukan.

“Kita meminta Kerajaan Persekutuan memberi kuasa khas kepada Sarawak untuk mengambil 5,800 tenaga kerja, termasuk 1,250 doktor bagi Jabatan Kesihatan Sarawak.

“Kita mahu mengambil dan menggaji tenaga kerja sendiri, bukannya terus menunggu keputusan dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesin elektrofisiologi jantung EnSite X Electrophysiology System di Borneo Medical Centre (BMC), di sini.

JURANG TENAGA KERJA PERLU DITANGANI SEGERA

Dr Sim berkata perbandingan keperluan tenaga kerja hospital turut menunjukkan jurang ketara antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, sebuah hospital berkapasiti kira-kira 1,000 katil di Sarawak mempunyai sekitar 4,500 kakitangan, sedangkan hospital dengan kapasiti sama di Semenanjung Malaysia mempunyai kira-kira 5,500 kakitangan.

Perbezaan sekitar 1,000 kakitangan itu menggambarkan cabaran sebenar yang dihadapi sistem kesihatan Sarawak, khususnya ketika jumlah penduduk, permintaan terhadap rawatan serta keperluan perkhidmatan kepakaran terus meningkat.

Bagi Sarawak yang mempunyai keluasan geografi besar serta penempatan penduduk yang berselerak hingga ke kawasan pedalaman, kecukupan tenaga kerja kesihatan amat penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada rawatan yang sewajarnya.

SARAWAK MAHU KEUPAYAAN BERTINDAK SENDIRI

Desakan supaya Sarawak diberikan kuasa lebih besar dalam pengambilan tenaga kerja kesihatan mencerminkan pendirian Kerajaan Sarawak untuk mencari penyelesaian lebih pantas terhadap keperluan sebenar di lapangan.

Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu negeri mempunyai ruang lebih luas untuk menentukan keperluan tenaga kerja, membuat pengambilan dan mengisi kekosongan berdasarkan keadaan sebenar hospital serta fasiliti kesihatan di Sarawak.

Pendekatan itu penting kerana kelewatan mengisi kekosongan bukan sekadar persoalan pentadbiran.

Di sebalik setiap jawatan yang belum diisi terdapat doktor yang perlu mengendalikan lebih ramai pesakit, jururawat yang memikul beban lebih besar dan rakyat yang bergantung kepada sistem kesihatan untuk mendapatkan rawatan tepat pada waktunya.

KAPASITI HOSPITAL KUCHING PERLU DIPERTINGKAT

Dalam pada itu, Dr Sim berkata Kerajaan Sarawak terus berusaha mendapatkan kemudahan kesihatan yang diperlukan rakyat, termasuk pembangunan hospital kanser.

Beliau berkata beberapa projek kemudahan kesihatan mengambil masa untuk direalisasikan berikutan kekangan peruntukan dan proses di peringkat Persekutuan.

Pada masa sama, kapasiti katil hospital khususnya di Kuching perlu terus dipertingkatkan sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan perkembangan pesat sektor kesihatan.

Beberapa hospital swasta juga sedang berkembang atau merancang meningkatkan kapasiti masing-masing, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di bandar raya ini semakin meningkat.

SARAWAK HANYA ADA KIRA-KIRA 20 PAKAR KARDIOLOGI

Dr Sim turut mendedahkan Sarawak ketika ini hanya mempunyai kira-kira 20 pakar kardiologi, termasuk mereka yang sedang menjalani latihan.

Menurut beliau, jumlah itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pembangunan kepakaran kardiologi menerusi latihan, jaringan profesional dan pendedahan antarabangsa.

“Bidang kardiologi sangat penting. Bukan kerana saya seorang pakar kardiologi, tetapi kerana kita hanya mempunyai kira-kira 20 pakar kardiologi di Sarawak. Jika termasuk pelatih, jumlahnya sekitar 20 orang,” katanya.

Keupayaan sesebuah sistem kesihatan tidak boleh bergantung kepada pembangunan bangunan dan pembelian teknologi perubatan semata-mata.

Hospital memerlukan manusia iaitu doktor, jururawat, pakar, pegawai perubatan dan petugas sokongan yang mencukupi untuk memastikan setiap kemudahan dan teknologi benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat.

Justeru, keperluan tambahan 5,800 tenaga kerja kesihatan termasuk 1,250 doktor menjadi antara cabaran besar yang perlu ditangani bagi memastikan pembangunan sektor kesihatan Sarawak bergerak seiring dengan pembangunan negeri.

Bagi Kerajaan Sarawak, matlamatnya jelas dimana Sarawak perlu mempunyai keupayaan lebih besar untuk memenuhi keperluan kesihatannya sendiri, mempercepat pengambilan tenaga kerja dan memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada kelewatan proses pentadbiran.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Lembaga Pengarah BMC Dr John Chew dan Pakar Perunding Elektrofisiologi BMC Dr Ho Kian Hui.

HASHTAG:

#Sarawak #SarawakMajuMakmur #GPS #KerajaanSarawak #AbangJohari #DrSimKuiHian #KesihatanSarawak #SarawakHealthcare #DoktorSarawak #TenagaKerjaKesihatan #AutonomiKesihatan #HakSarawak #UntukRakyatSarawak #JagaSarawakIntuSarawak #SegulaiSejalai #PembangunanSarawak #TheGreatHornbill

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Sarawak