Festival Sastera Sarawak bukan sekadar acara, mahu cetus gerakan ilmu seluruh negeri

MIRI: Bukan sekadar menghimpunkan penulis dan pencinta buku, Festival Sastera Sarawak 2026 membawa aspirasi lebih besar. Ia mencetuskan satu gerakan ilmu di seluruh negeri yang mampu melahirkan generasi Sarawak yang membaca, berfikir, mencipta dan berani menentukan masa depannya sendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Festival Sastera Sarawak tidak seharusnya berhenti sebagai acara tahunan semata-mata, sebaliknya perlu berkembang menjadi gerakan masyarakat yang menyemarakkan budaya membaca, pemikiran kritis dan ekspresi kreatif dari bandar hingga ke luar bandar.
Di sebalik pembangunan pesat, infrastruktur moden dan transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan di Sarawak, beliau memberi penekanan bahawa pembangunan sebenar sebuah negeri turut bergantung kepada kekuatan pemikiran rakyatnya.
Justeru, usaha membina Sarawak masa hadapan bukan hanya mengenai pembangunan fizikal, tetapi turut menuntut pelaburan terhadap manusia khususnya minda dan ilmu generasi muda.
“Sesebuah masyarakat yang membaca akan menjadi masyarakat yang belajar. Masyarakat yang belajar akan menjadi masyarakat yang berfikir.
“Masyarakat yang berfikir akan menjadi masyarakat yang berinovasi. Dan masyarakat yang inovatif mempunyai keyakinan untuk menentukan masa depannya sendiri,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika melancarkan Festival Sastera Sarawak 2026 di Stadium Tertutup Miri.
Mesej itu membawa makna besar terhadap hala tuju pembangunan Sarawak apabila ilmu, pendidikan, kreativiti dan pembinaan modal insan diberikan perhatian seiring pembangunan ekonomi serta infrastruktur negeri.
Bagi Abang Johari, buku bukan sekadar helaian yang mengandungi tulisan. Sebuah buku boleh menjadi pintu pertama seorang kanak-kanak mengenali dunia, membina impian dan akhirnya menemui jalan untuk mengubah kehidupannya.
Atas sebab itu, beliau menekankan kepentingan memperkenalkan buku kepada kanak-kanak sejak usia muda.
Daripada sebuah buku, seorang anak Sarawak mungkin menemui minat terhadap sains. Seorang lagi mungkin bercita-cita menjadi jurutera, pendidik, usahawan, seniman atau pemimpin.
Pendedahan kepada ilmu sejak kecil, katanya, mampu membuka jalan kepada pelbagai bidang kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan.
Pada masa sama, Abang Johari menyeru penulis, penerbit, pendidik, perpustakaan, universiti dan sektor swasta supaya berganding bahu membimbing bakat muda, menemukan suara-suara baharu serta memperluaskan penghasilan dan perkongsian ilmu.
Usaha tersebut penting kerana Sarawak bukan sahaja memiliki kekayaan sumber semula jadi, malah khazanah bahasa, budaya, sejarah dan cerita daripada masyarakatnya yang pelbagai.
Khazanah itu perlu didokumentasikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya agar tidak tenggelam ditelan perubahan zaman.
“Biarlah Festival Sastera Sarawak menjadi lebih daripada sekadar sebuah festival. Biarlah ia menjadi sebahagian daripada satu gerakan untuk membina Sarawak yang membaca, berfikir dan berkarya; sebuah Sarawak yang menghargai ilmu, memelihara bahasanya, menghormati warisannya dan cukup yakin untuk menceritakan kisahnya sendiri kepada dunia,” katanya.
Aspirasi tersebut turut mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan negeri bergerak secara menyeluruh — bukan sahaja melalui ekonomi, teknologi dan pembangunan fizikal, tetapi juga menerusi pendidikan, kebudayaan, kreativiti dan pengukuhan intelektual masyarakat.
Abang Johari berharap Festival Sastera Sarawak akan terus berkembang menjadi wadah yang memperkaya pemikiran masyarakat serta membuka ruang lebih luas kepada karya dan suara Sarawak menembusi pentas antarabangsa.
Miri pula mempunyai kekuatan tersendiri untuk menjadi antara pusat penting kepada perkembangan itu.
Dengan masyarakatnya yang mencerminkan 28 daripada 34 kumpulan etnik di Sarawak, kepelbagaian bahasa, budaya, pengalaman dan cerita menjadikan bandar raya berkenaan sebuah medan yang kaya untuk pertumbuhan ekosistem kesusasteraan.
Potensi tersebut menjadi semakin signifikan ketika Miri membawa aspirasi untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang kesusasteraan.
“Semoga festival ini terus berkembang sebagai platform penting untuk memperkasakan budaya membaca, memperkaya pemikiran dan membawa kisah-kisah Sarawak ke pentas dunia,” katanya.
Dalam sebuah negeri yang sedang melalui transformasi besar, mesej daripada Festival Sastera Sarawak 2026 jelas iaitu kemajuan tidak hanya dibina dengan jalan raya, jambatan, bangunan atau teknologi malah ia turut dibina melalui manusia yang berilmu, masyarakat yang berfikir dan generasi yang berani mencipta.
Dan melalui usaha memperkukuh budaya ilmu serta memelihara identiti dan warisan tempatan, Sarawak mahu memastikan generasi akan datang bukan sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan dunia, tetapi mempunyai ilmu dan keyakinan untuk mengambil bahagian dalam mencorakkan masa depan mereka sendiri.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Rauf Abdul Zen, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Edy Irwan Zulkafli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau serta tetamu lain.
#SarawakLiteratureFestival2026 #SarawakMembaca #SarawakBerilmu #BudayaMembaca #GenerasiSarawak #SasteraSarawak #WarisanSarawak #Miri #Sarawak
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan