Selasa, 3 November 2026
Terkini
Pembangunan

Kerajaan Sarawak Tanggung Separuh Kos Panel Solar, Ringankan Beban Pemilik Rumah Tanjung Manis

MUKAH, 4 Okt: Kerajaan Sarawak mengambil langkah progresif untuk membantu rakyat menikmati manfaat tenaga boleh baharu apabila bersedia menanggung separuh daripada kos pemasangan panel solar bagi pemilik rumah di Tanjung Manis.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi kelegaan kepada bakal pemilik kediaman apabila kos pemasangan sistem solar yang boleh mencecah sekitar RM30,000 dapat dikurangkan kepada kira-kira RM15,000 menerusi pendekatan perkongsian pembiayaan bersama Kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam, Datuk Len Talif Salleh berkata lebih 20 buah rumah dirancang untuk dibangunkan di Tanjung Manis, dengan lebih separuh daripadanya bakal dilengkapi sistem panel solar.

Menurut beliau, hasrat Kerajaan Sarawak adalah supaya manfaat teknologi tenaga bersih itu dapat dinikmati seramai mungkin pemilik rumah, terutama setelah pendekatan sama menunjukkan manfaat di kawasan lain termasuk Gedong.

“Kalau boleh, semua rumah ini dibekalkan dengan panel solar kerana kita sudah melihat kebaikannya di kawasan Gedong, apabila pemilik rumah boleh menjual semula lebihan tenaga elektrik kepada sistem grid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Senamrobik dan 3KM DUN Walk Costume di Dataran Pehin Setia Raja, di sini.

Len Talif berkata, penggunaan sistem solar bukan sahaja berpotensi membantu isi rumah mengurangkan kos tenaga dalam jangka panjang, malah membuka peluang kepada pemilik kediaman untuk memanfaatkan lebihan tenaga elektrik yang dijana.

Pendekatan itu sekali gus memperlihatkan bagaimana pembangunan perumahan di Sarawak boleh bergerak seiring dengan transformasi tenaga hijau, dengan rakyat sendiri berpeluang menjadi sebahagian daripada ekosistem tenaga boleh baharu negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata cadangan turut dikemukakan supaya kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat membantu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak RM10,000 kepada pembeli rumah yang layak.

Bantuan tersebut boleh digunakan untuk membayar sebahagian kos berkaitan, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung pemilik kediaman.

Lebih menggembirakan, berdasarkan anggaran yang dikemukakan, bayaran berkaitan rumah dan sistem panel solar disasarkan tidak melebihi RM20 sebulan, menerusi tempoh pembayaran jangka panjang antara 20 hingga 30 tahun.

Bagaimanapun, Len Talif menjelaskan butiran sebenar skim pembiayaan dan mekanisme pembayaran masih perlu diperincikan bagi memastikan setiap pemilik rumah memahami sepenuhnya komitmen kewangan masing-masing.

Langkah itu penting supaya pelaksanaan inisiatif tenaga hijau berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa mewujudkan tekanan kewangan baharu.

Inisiatif di Tanjung Manis mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk memastikan kemajuan teknologi dan peralihan kepada tenaga bersih tidak hanya tertumpu kepada sektor industri atau projek berskala besar, sebaliknya turut membawa manfaat secara langsung ke kediaman rakyat.

Jika diperluaskan, pendekatan berkenaan berpotensi menjadi antara model pembangunan perumahan masa hadapan Sarawak — kediaman yang bukan sahaja selesa dan mampu dimiliki, tetapi lebih cekap tenaga, mampan serta mampu memanfaatkan sumber tenaga semula jadi.

Ia juga selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekonomi rendah karbon dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu, sambil memastikan rakyat menjadi antara penerima manfaat utama daripada transformasi tersebut.

Daripada mengurangkan kos pemasangan kepada membuka peluang memanfaatkan tenaga yang dijana sendiri, inisiatif ini membawa satu mesej jelas dimana pembangunan hijau Sarawak sedang diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.