Era Baharu Pentadbiran Tanah Sarawak – Premier Mahu JTS Guna Data Pasaran, Hak Pemilik Tanah Kekal Dilindungi

KUCHING: Ketika Sarawak bergerak pantas dengan pembinaan jalan raya, pembangunan bandar, kawasan industri dan pelaburan berskala besar, satu perkara tidak boleh dibiarkan ketinggalan dimana nilai tanah rakyat mesti dinilai secara tepat, profesional dan berasaskan realiti pasaran.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) bergerak lebih jauh meninggalkan kaedah konvensional dengan memperkukuh sistem penilaian tanah berasaskan data pasaran, maklumat geospatial dan analitik yang tersusun.
Pendekatan data-driven valuation itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan pentadbiran tanah Sarawak ketika negeri ini melalui transformasi pembangunan yang semakin pesat dan kompleks.
Lebih penting, di sebalik angka, pembangunan dan teknologi, Premier menegaskan satu prinsip yang tidak harus dikompromi iaitu hak pemilik tanah untuk menerima pampasan yang adil.
Menurut beliau, peningkatan pembangunan infrastruktur, pertumbuhan bandar serta kemasukan pelaburan berskala besar menyebabkan proses penilaian tanah semakin kompleks dan tidak lagi wajar bergantung kepada pendekatan yang tidak mengambil kira perubahan sebenar pasaran.
Proses pengambilan tanah, katanya, perlu disokong oleh penilaian yang profesional, konsisten serta mampu dipertahankan supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual tanpa mengetepikan kepentingan pemilik tanah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di Kuching, malam Rabu.
Pembangunan Meningkat, Nilat Tanah Turut Berubah
Hakikatnya mudah, apabila sebuah kawasan menerima jalan raya baharu, infrastruktur moden dan pembangunan ekonomi, potensi serta nilai tanah di kawasan berkenaan juga boleh berubah.
Justeru, perubahan itu perlu diterjemahkan melalui sistem penilaian yang lebih sistematik dan disokong bukti.
“Apabila kita bangunkan tanah, apabila kita bangunkan jalan, sudah tentu nilai tanah akan bertambah,” kata Abang Johari.
Atas sebab itu, penilaian premium melibatkan variasi syarat hak milik, pemberimilikan terus, pembaharuan pajakan tanah serta projek pembangunan perlu mengambil kira perubahan pasaran dan potensi pembangunan sesuatu kawasan.
Premier mahu fungsi penilaian JTS bergerak lebih jauh ke arah data-driven valuation melalui penggunaan data transaksi, maklumat geospatial dan analitik pasaran secara lebih tersusun.
Transformasi tersebut bukan sekadar soal penggunaan teknologi.
Ia berkait secara langsung dengan usaha meningkatkan ketepatan penilaian, mempercepatkan keputusan kerajaan, mengurangkan pertikaian serta memastikan hasil negeri dinilai secara wajar.
Daripada Pentadbiran Konvensional Kepada Kerajaan Berasaskan Data
Arah yang digariskan Premier turut mencerminkan transformasi lebih besar dalam pentadbiran Sarawak iaitu menjadikan data sebagai asas kepada keputusan kerajaan.
Maklumat tanah dan geospatial tidak seharusnya terpisah antara agensi, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem maklumat yang boleh menyokong keputusan pembangunan secara lebih pantas dan tepat.
Dalam konteks pentadbiran GPS, pendekatan ini memperlihatkan hala tuju kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada pemodenan institusi, penggunaan teknologi dan keputusan berasaskan bukti dalam mengurus pembangunan Sarawak.
Namun pada masa sama, kemajuan itu perlu bergerak seiring dengan keadilan kepada rakyat.
Tanah bukan sekadar nombor lot di atas peta.
Bagi ramai rakyat Sarawak, tanah membawa nilai ekonomi, sejarah keluarga, sumber kehidupan dan warisan untuk generasi seterusnya. Sebab itu ketepatan penilaian serta ketelusan proses menjadi semakin penting apabila pembangunan negeri bergerak semakin pantas.
Pembangunan Pesar, Hak Rakyat Tidak Boleh Tercicir
Cabaran Sarawak hari ini bukan lagi sekadar bagaimana hendak membangunkan lebih banyak projek, tetapi bagaimana pembangunan itu dapat dilaksanakan secara pantas, teratur dan berdasarkan maklumat yang boleh dipertahankan sambil memastikan kepentingan pemilik tanah terus diberi perhatian.
Di sinilah sistem penilaian moden memainkan peranan.
Apabila keputusan disokong oleh data transaksi sebenar, maklumat geospatial dan analitik pasaran, asas bagi menentukan nilai tanah menjadi lebih objektif dan boleh diteliti.
Ia juga boleh membantu mengurangkan ruang pertikaian serta memberi asas yang lebih kukuh kepada keputusan kerajaan berkaitan pengambilan tanah, premium dan pembangunan.
Arah baharu yang digariskan Abang Johari membawa mesej jelas: Sarawak mahu membangun dengan pantas, tetapi pembangunan itu perlu disokong data, profesionalisme dan tadbir urus yang kukuh.
Dalam perjalanan menuju ekonomi yang semakin moden dan berasaskan teknologi, tanah kekal antara aset paling penting Sarawak.
Maka apabila nilai tanah berubah bersama kemajuan, sistem yang menentukan nilainya juga perlu berubah.
Lebih tepat datanya, lebih kukuh asas keputusannya dan lebih jelas kedudukan hak rakyat dalam arus pembangunan Sarawak.
#SarawakMajuMakmur #SarawakFirst #GPS #AbangJohari #PremierSarawak #JabatanTanahDanSurvei #HakPemilikTanah #DataDrivenValuation #TransformasiSarawak #PembangunanSarawak #DigitalSarawak #Sarawak2030
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan