Sabtu, 31 Oktober 2026
Terkini
Sarawak

Teknologi Jadi Kunci, Abang Johari Pertaruh Masa Depan Hidrogen Sarawak

KUCHING: Ketika dunia masih bergelut mencari formula terbaik untuk menghasilkan tenaga bersih pada harga yang mampu bersaing, Sarawak memilih untuk tidak sekadar menunggu perubahan berlaku sebaliknya mahu berada di barisan hadapan mencipta dan menguasai perubahan itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg percaya kemajuan teknologi akhirnya mampu menurunkan kos pengeluaran hidrogen, sekali gus membuka pasaran lebih luas dan menjadikan sumber tenaga berkenaan semakin kompetitif pada masa hadapan.

Keyakinan itu bukan semata-mata bersandarkan aspirasi. Sarawak telah menjalankan penyelidikan berkaitan hidrogen sejak beberapa tahun lalu dan membangunkan kemudahan pengeluaran serta pengisian hidrogen pertama pada 2019 sebagai sebahagian usaha menguasai teknologi tersebut.

Bagi Abang Johari, setiap teknologi baharu pasti bermula dengan persoalan besar, adakah ia terlalu mahal, siapa yang akan membelinya dan mampukah pasaran berkembang?

Namun sejarah perkembangan teknologi menunjukkan bahawa sesuatu yang mahal pada peringkat awal tidak semestinya kekal mahal selama-lamanya.

Beliau mengibaratkannya dengan komputer yang suatu ketika dahulu begitu mahal dan hanya mampu dimiliki pihak tertentu, tetapi kemajuan teknologi, peningkatan skala pengeluaran serta inovasi akhirnya menjadikannya jauh lebih mampu milik.

Prinsip sama, menurut beliau, berpotensi berlaku kepada hidrogen.

“Mestilah, bila kita buat sesuatu yang baharu, ada unsur ketidakpastian dari segi penggunaan, namun saya percaya teknologi akan kurangkan kos dan bila kos dah kurang, barulah anda kembangkan tapak pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan penganalisis Global Asia Consulting yang menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula pemberian insentif kepada sektor hidrogen Sarawak selagi kewujudan pembeli pada harga komersial yang berdaya maju belum dapat dibuktikan.

Abang Johari tidak menolak kewujudan risiko tersebut.

Sebaliknya, beliau menegaskan risiko perlu dianalisis bersama perkembangan teknologi yang mungkin mengubah keseluruhan struktur kos industri pada masa depan.

Pandangan Abang Johari turut mempunyai sandaran dalam perkembangan industri antarabangsa.

Laporan Global Hydrogen Review 2026 oleh IEA menunjukkan kapasiti elektrolisis terpasang dunia meningkat dua kali ganda sepanjang 2025 sehingga melepasi 4GW, dengan lebih 2.5GW lagi sedang dibina untuk mula beroperasi pada 2026. China pula terus menjadi peneraju utama pembuatan teknologi elektrolisis.

IEA bagaimanapun turut mengingatkan bahawa hidrogen boleh diperbaharui masih lebih mahal berbanding pengeluaran hidrogen berasaskan bahan api fosil di kebanyakan rantau dalam jangka pendek. Ini bermakna isu kos dan permintaan yang dibangkitkan pengkritik sememangnya cabaran komersial sebenar yang perlu ditangani.

Pada masa sama, perkembangan teknologi memberi ruang kepada kos itu berubah. IEA sebelum ini menjelaskan kos modal elektroliser dijangka menurun menerusi peningkatan skala pengeluaran, inovasi dan penambahbaikan proses pembuatan.

Malah pada April 2026, Abang Johari sendiri menekankan bahawa kemajuan dalam teknologi elektrolisis termasuk peningkatan kecekapan membran berpotensi menjadikan proses pengeluaran hidrogen semakin kompetitif.

Sarawak Ada Kelebihan Yang Sukar Diabaikan

Di sinilah Sarawak mempunyai satu kelebihan strategik — tenaga boleh diperbaharui berskala besar.

Sarawak Energy merekodkan kapasiti terpasang 4,640MW daripada lapan stesen janakuasa utama yang disambungkan kepada Grid Sarawak. Tiga empangan hidro utamanya sahaja iaitu Bakun, Murum dan Batang Ai dimana masing-masing mempunyai kapasiti 2,520MW, 944MW dan 94MW.

Bekalan tenaga boleh diperbaharui inilah yang menyediakan asas penting kepada aspirasi Sarawak untuk menghasilkan hidrogen hijau melalui elektrolisis air.

Lebih penting, Sarawak bukan baru semalam bercakap mengenai hidrogen.

Usaha penyelidikan hidrogen hijau negeri bermula sejak 2017 sebelum membawa kepada pembinaan dan pentauliahan loji pengeluaran serta stesen pengisian hidrogen pada 2019, yang digunakan bagi menyokong bas berkuasa hidrogen di Kuching.

Daripada sebuah projek penyelidikan, Sarawak kini cuba bergerak kepada skala industri.

Kerjasama dengan syarikat antarabangsa melalui projek seperti H2ornbill dan H2biscus pula menunjukkan usaha membina rantaian nilai yang tidak berhenti pada penghasilan hidrogen semata-mata, tetapi turut merangkumi derivatif seperti ammonia dan metanol.

Pada 2024, kerajaan negeri turut menyatakan sasaran hab hidrogen Sarawak di Bintulu menghasilkan sekitar 250,000 tan hidrogen hijau setahun, dengan kira-kira 90 peratus dirancang untuk eksport dan selebihnya kegunaan tempatan.

Malah lawatan Abang Johari ke Siemens Energy di Berlin pada September 2025 memperlihatkan mengapa beliau begitu menekankan teknologi. Teknologi elektroliser yang diperlihatkan ketika lawatan itu dilaporkan mampu menghasilkan sekitar 350 kilogram hidrogen sejam, berbanding kapasiti loji penyelidikan Sarawak ketika itu sekitar 130 kilogram sehari.

Perbezaan skala itu menggambarkan betapa pantasnya teknologi boleh berkembang.

Bukan Sekadar Menjual Hidrogen

Bagi Abang Johari, pertaruhan Sarawak terhadap hidrogen juga membawa persoalan yang lebih besar daripada sekadar berapa harga sekilogram hidrogen.

Matlamat akhirnya adalah membina ekonomi baharu.

Hidrogen berpotensi menjadi asas kepada aktiviti hiliran, mobiliti rendah karbon, industri kimia hijau dan sektor industri yang memerlukan tenaga lebih bersih.

Ia juga membuka ruang kepada pembangunan kepakaran tempatan, pekerjaan berkemahiran tinggi serta penyertaan syarikat Sarawak dalam rantaian bekalan teknologi baharu.

Dengan kata lain, Sarawak tidak mahu hanya menjadi tempat sumber tenaga dikeluarkan sebelum nilai tambahnya dinikmati di tempat lain.

Negeri ini mahu sebanyak mungkin nilai ekonomi itu diproses, dikembangkan dan kekal di Sarawak.

Sebab itu persoalan “ayam atau telur” yang dibangkitkan Abang Johari menjadi penting.

Tanpa pengeluaran, sukar membina pasaran.

Tanpa pasaran, pelabur pula keberatan meningkatkan pengeluaran.

Tetapi tanpa keberanian memulakan pembangunan teknologi, kedua-duanya mungkin tidak pernah wujud.

Data antarabangsa menunjukkan perjalanan itu bukan tanpa cabaran. IEA melaporkan pelaburan modal global dalam projek hidrogen rendah pelepasan mencecah hampir AS$7 bilion pada 2025, hampir dua kali ganda paras 2024, dan boleh menghampiri AS$10 bilion pada 2026.

Pada masa sama, kekurangan permintaan dan halangan kawal selia masih menekan sebahagian projek dunia.

Justeru, kejayaan strategi Sarawak akhirnya akan bergantung kepada keupayaannya menurunkan kos, mendapatkan pembeli jangka panjang, meningkatkan kecekapan teknologi dan memastikan projek mencapai daya maju komersial.

Namun satu perkara semakin jelas, Sarawak memilih untuk membina keupayaan sebelum teknologi itu mencapai kematangan sepenuhnya, bukan menunggu sehingga peluang tersebut dikuasai pihak lain.

Apa yang pernah bermula sebagai penyelidikan hidrogen pada 2017 kini sedang berkembang menjadi sebahagian daripada strategi ekonomi dan tenaga negeri.

Dan di sebalik segala keraguan, Abang Johari tetap berpegang kepada satu keyakinan: teknologi akan berubah, kos boleh turun dan pasaran boleh berkembang.

Jika peralihan itu berlaku seperti yang dijangkakan, langkah awal Sarawak hari ini berpotensi menjadi asas kepada sebuah industri bernilai tinggi pada masa hadapan yang bukan sekadar menghasilkan tenaga lebih bersih, tetapi membina ilmu, pekerjaan, industri hiliran dan nilai ekonomi untuk generasi Sarawak seterusnya.

#AbangJohari #SarawakMajuMakmur #Sarawak2030 #EkonomiHidrogen #HidrogenHijau #TenagaHijau #TenagaBolehDiperbaharui #EkonomiHijau #TeknologiHijau #InovasiSarawak #SarawakEnergy #SEDCenergy #H2ornbill #H2biscus #TenagaMasaDepan #PembangunanSarawak #SarawakFirst #PostCOVID19DevelopmentStrategy

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Sarawak