Isnin, 21 September 2026
Terkini
Komuniti

Khazanah Tersembunyi Bak Buan Mabi: UNIMAS Rekod Spesies Ikan Unik Sarawak

KUCHING: Di sebalik kejernihan air yang mengalir di celah batu dan kehijauan alam Bak Buan Mabi, Kampung Sadir, Padawan, tersimpan khazanah biodiversiti yang masih belum sepenuhnya diketahui dunia sains.

Tinjauan biodiversiti oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini merekodkan penemuan Rasbora cryptica, spesies ikan air tawar daripada kumpulan seluang yang mempunyai taburan amat terhad di Borneo.

Penemuan itu cukup signifikan kerana spesies berkenaan hanya diketahui terdapat di selatan Sarawak dan kini disenaraikan sebagai Kekurangan Data (Data Deficient) oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Status berkenaan bermakna maklumat mengenai populasi serta keadaan pemuliharaan spesies itu masih belum mencukupi — sekali gus menjadikan setiap rekod saintifik baharu amat bernilai dalam usaha memahami dan melindungi biodiversiti asli Sarawak.

Pensyarah Kanan Program Biologi Marin dan Air Tawar, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Dr Ahmad Syafiq Ahmad Nasir, berkata dokumentasi saintifik penting untuk mengetahui dengan lebih jelas taburan, populasi dan status pemuliharaan spesies natif Sarawak.

Menurutnya, kekurangan maklumat dalam pangkalan data saintifik dunia menjadikan kajian lapangan seperti itu penting, khususnya dalam menyediakan gambaran lebih menyeluruh mengenai khazanah hidupan air tawar negeri ini.

Bukan hanya satu spesies

Bak Buan Mabi ternyata menyimpan lebih banyak kejutan.

Persampelan awal turut merekodkan Rasbora sarawakensis, spesies tempatan yang dikenali sebagai seluang Sarawak, selain Garra borneensis atau dikenali masyarakat Bidayuh Kampung Sadir sebagai “kien tigarung”.

Garra borneensis memiliki adaptasi yang mengagumkan. Bahagian mulutnya menyerupai cakera pelekap yang membolehkannya berpaut pada batu — satu kelebihan penting untuk terus bertahan dalam sungai berbatu dengan arus deras.

Pasukan penyelidik turut menemui udang air tawar daripada genus Macrobrachium serta beberapa jenis moluska air tawar.

Namun, jumlah sebenar spesies yang menghuni kawasan berkenaan masih belum dimuktamadkan. Proses pengecaman dan pengesahan taksonomi di makmal perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Air jernih, ekosistem masih bernyawa

Kajian di dua stesen persampelan bukan sekadar mencari dan merekodkan spesies.

Penyelidik turut menilai struktur habitat, substrat sungai, litupan tebing serta keadaan keseluruhan ekosistem. Hasil pengukuran awal memberikan petunjuk yang memberangsangkan apabila kualiti air Bak Buan Mabi didapati berada pada tahap sangat baik dan kondusif untuk hidupan akuatik.

Airnya jernih, kandungan bahan terlarut rendah dan paras oksigen terlarut pula mencukupi.

Data itu bakal menjadi garis dasar penting untuk mengesan perubahan ekosistem pada masa hadapan — terutama ketika kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai destinasi rekreasi dan ekopelancongan.

Bak Buan Mabi terletak dalam Kluster Padawan-Siburan di bawah Sarawak Delta UNESCO Global Geopark, sebuah landskap yang dibentuk menerusi proses geologi selama jutaan tahun.

Struktur batuan dan perbezaan ketinggian di kawasan itu dipercayai menghasilkan aliran air bertingkat serta pelbagai mikrohabitat yang menyediakan ruang kehidupan kepada pelbagai organisma akuatik.

Keindahan yang perlu dijaga

Di sebalik potensi besar Bak Buan Mabi sebagai khazanah biodiversiti dan ekopelancongan, hadir satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

Tinjauan awal menunjukkan ekosistem sungainya masih terpelihara. Namun, aktiviti rekreasi perlu diurus secara bertanggungjawab supaya pencemaran, gangguan habitat dan kemerosotan ekosistem tidak memusnahkan sesuatu yang mengambil masa begitu lama untuk terbentuk.

Kajian berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada projek Kampung Angkat MADANI UNIMAS di bawah inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), yang turut menyokong pembangunan ekopelancongan berasaskan biodiversiti serta warisan semula jadi Kampung Sadir.

Lebih bermakna, masyarakat tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati.

Kerjasama melibatkan Ketua Kampung Sadir, Bobyham William, pemandu pendakian dalam kalangan belia serta penduduk setempat akan terus diperkukuh menerusi pemetaan bersama, penggabungan kearifan tradisional dengan data saintifik dan latihan pemantauan biodiversiti berasaskan komuniti.

Bobyham turut berharap penyelidikan seumpama itu dapat diperluaskan ke kawasan air terjun lain bagi mengenal pasti lebih banyak kekayaan biodiversiti dan membantu usaha pemuliharaan.

Penemuan di Bak Buan Mabi membawa satu mesej penting yang membuktikan bahawa di sungai-sungai pedalaman Sarawak mungkin masih tersembunyi khazanah alam yang belum sempat dikenal pasti sepenuhnya oleh dunia sains.

Setiap spesies yang direkodkan bukan sekadar nama dalam katalog penyelidikan. Ia sebahagian daripada warisan alam Sarawak yang perlu difahami, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sumber: Berita Harian

#BakBuanMabi #KampungSadir #Padawan #UNIMAS #RasboraCryptica #RasboraSarawakensis #BiodiversitiSarawak #KhazanahSarawak #Sarawak #Borneo #PemuliharaanAlam #Ekopelancongan #SarawakDeltaGeopark #SainsSarawak #TheGreatHornbill

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Komuniti