Jangan Terkurung Dalam Lingkungan Sendiri – Belia Sarawak Perlu Berani Mendunia

KUCHING: Masa depan Sarawak bukan sekadar bergantung kepada kekayaan sumber atau pembangunan fizikal, tetapi kepada lahirnya generasi pemimpin muda yang berilmu, berkeyakinan dan berani membawa suara Sarawak melangkaui sempadan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, mengingatkan bahawa pemimpin masa depan negeri ini tidak boleh terus selesa dalam lingkungan sendiri. Mereka perlu bersedia berdiri sama tinggi dengan pemimpin dunia serta berkomunikasi dengan yakin di pentas antarabangsa.
Menurut beliau, penguasaan bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris, merupakan antara bekalan penting bagi anak muda yang bercita-cita memimpin dalam dunia yang semakin saling berhubung.
“Anda tidak perlu takut untuk bertutur dalam bahasa antarabangsa lain jika mahu menjadi pemimpin masa depan.”
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Aku Kasih Malaysia: Pimpinan Belia Negeri Sarawak di Auditorium DUN Sarawak, hari ini.
Asfia mengajak belia membayangkan tanggungjawab yang bakal mereka pikul suatu hari nanti dimana mereka akan berhadapan pemimpin asing, ahli Parlimen luar negara, tokoh perniagaan serta mewakili Sarawak dalam forum serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mesejnya jelas: anak Sarawak tidak harus sekadar menjadi pemerhati dunia, tetapi perlu memiliki ilmu dan keberanian untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang membentuknya.
Beliau turut menegaskan bahasa Inggeris tidak seharusnya dilihat secara negatif kerana bahasa berkenaan kini menjadi medium komunikasi antarabangsa yang penting.
Pada masa sama, Asfia mengingatkan bahawa usaha melahirkan pemimpin masa depan memerlukan budaya yang sanggup membuka ruang kepada bakat baharu.
Mereka yang mempunyai kebolehan, ilmu dan potensi perlu diberi peluang untuk berkembang serta memikul tanggungjawab lebih besar, bukannya disekat hanya kerana mereka masih muda.
“Jika wujud budaya yang tidak mahu golongan terbaik diberi peluang untuk maju, budaya itu akhirnya akan memusnahkan dirinya sendiri.”
Pesanan itu membawa makna besar kepada generasi baharu Sarawak, peluang yang tersedia hari ini perlu digunakan untuk menimba ilmu, memperluas pandangan dan membina keyakinan sebelum tiba masanya mereka mengambil tempat sebagai peneraju masa depan.
Dalam sebuah Sarawak yang semakin terbuka kepada ekonomi global dan hubungan antarabangsa, cabaran generasi seterusnya bukan sekadar meneruskan apa yang telah dibina, tetapi membawa Sarawak lebih jauh.
Daripada kampung dan bandar di seluruh Bumi Kenyalang, generasi pemimpin seterusnya sedang dibentuk. Hari ini mereka belajar dan mencari pengalaman; esok, mungkin merekalah yang membawa nama serta kepentingan Sarawak ke pentas dunia.
#Sarawak #SarawakMajuMakmur #BeliaSarawak #GenerasiMasaDepan #PemimpinMasaDepan #AnakSarawak #BumiKenyalang #Sarawak2030 #PembangunanSarawak #KepimpinanBelia #MasaDepanSarawak #GPS #GabunganPartiSarawak #SarawakDiPentasDunia #TheGreatHornbill
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan