Abang Johari: Kuasai Bahasa, Buka Pintu Ilmu dan Peluang Dunia

KUCHING: Golongan muda Sarawak digesa menguasai pelbagai bahasa bagi memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, teknologi dan peluang global, tanpa mengetepikan bahasa ibunda serta identiti budaya masing-masing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bahasa Malaysia kekal penting sebagai bahasa kebangsaan dan jambatan perpaduan, manakala penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa lain mampu membuka peluang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kemajuan dan pemeliharaan identiti tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan, khususnya di Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya.
“Kita tidak perlu memilih antara bahasa dan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, kita mesti menguasai bahasa dengan baik supaya ilmu yang kita peroleh dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.”
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, pada Majlis Penutupan Pertandingan Forum Pelajar Nasional 2026 di Sekolah Menengah Chung Hua No.1, Kuching.
Abang Johari turut menyifatkan pertandingan forum sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang mampu berfikir secara kritis, membina hujah, menghormati pandangan berbeza serta menyampaikan pendapat dengan yakin dan berhemah.
Menurutnya, ciri kepimpinan bermula bukan dengan jawatan, tetapi dengan keberanian berfikir, kemampuan bersuara dan kesediaan memikul tanggungjawab.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya berani memasang cita-cita tinggi kerana generasi muda hari ini berpotensi menjadi pemimpin masyarakat, ahli akademik, tokoh korporat mahupun pemimpin negara pada masa hadapan.
Dengan ilmu, penguasaan bahasa dan jati diri yang kukuh, generasi muda Sarawak mampu melangkah ke pentas dunia tanpa kehilangan akar budaya sendiri.
#AnakSarawak #GenerasiSarawak #PendidikanSarawak #AbangJohari #BahasaJambatanIlmu #SarawakMajuMakmur #SarawakBersatu #MasaDepanSarawak #TheGreatHornbill
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan