Abang Johari Mahu Punca Peningkatan Diabetes, Penyakit Buah Pinggang Di Sarawak Dikenal Pasti

MIRI: Kesihatan rakyat bukan sekadar tanggungjawab individu, sebaliknya merupakan keutamaan dalam usaha Kerajaan Sarawak membina masyarakat yang sejahtera dan menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mahu trend peningkatan penyakit diabetes dan buah pinggang di negeri ini diteliti secara mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar serta merangka langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan menerusi Program Sarawakku Sayang di beberapa lokasi termasuk Miri, Sibu, Sarikei dan Samarahan menunjukkan peningkatan kes diabetes yang membimbangkan.
“Kita mesti mencari punca mengapa trend ini berlaku. Kadang-kadang kadarnya terlalu tinggi,” tegas beliau ketika merasmikan Pusat Dialisis Buah Pinggang (KDC) Bulan Sabit Merah (BSM) Miri yang baharu di Permyjaya.
Menurut Abang Johari, penyakit diabetes, buah pinggang, jantung dan tekanan darah tinggi bukan sahaja mengancam kesejahteraan rakyat, malah boleh mengakibatkan beban kewangan besar kepada keluarga serta masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak melakukan perubahan gaya hidup dengan mengurangkan pengambilan gula, menjaga pemakanan, bersenam secara konsisten serta menguruskan tekanan dengan lebih baik.
Beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi kesihatan moden untuk memantau paras gula dan tekanan darah, di samping menjalani pemeriksaan doktor secara berkala.
Dalam memperkukuh akses rawatan, Abang Johari menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus membantu pesakit yang memerlukan, khususnya mereka yang bergantung kepada rawatan dialisis.
Miri kini mempunyai dua pusat dialisis, manakala Sarikei turut dikenal pasti memerlukan kemudahan tambahan dengan cadangan dua pusat yang dilengkapi 10 mesin.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa cabaran terbesar bukan sekadar menyediakan mesin dan bangunan, tetapi memastikan pembiayaan rawatan, ubat-ubatan serta operasi pusat dialisis terus mampan, dengan anggaran kos penyelenggaraan mencecah RM8 juta setahun.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi BSM Miri, Dato Sri Lee Kim Shin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua penyumbang yang menjayakan pembinaan pusat berkenaan.
“Sekiranya kita menjaga kesihatan diri, saya yakin masa depan kita akan lebih baik. Namun, jika ada anggota masyarakat yang menderita akibat penyakit, kita perlu membantu mereka. Kerajaan sudah tentu akan terus memberikan bantuan,” katanya.
Pendekatan Abang Johari ini memperlihatkan penekanan kepimpinan Kerajaan Sarawak terhadap dua keutamaan yang saling melengkapi, iaitu memperluas kemudahan rawatan dan memperkukuh kesedaran pencegahan penyakit.
Kerana kemajuan Sarawak bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan kekuatan ekonomi, tetapi juga melalui kesihatan, kesejahteraan serta kualiti hidup rakyatnya.
#AbangJohari #PremierSarawak #KerajaanSarawak #SarawakMajuMakmur #KesihatanRakyat #SarawakkuSayang #Miri #PusatDialisis #SarawakSejahtera #TheGreatHornbill
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan