Khamis, 19 November 2026
Terkini
Pembangunan

800,000 Rawatan Dialisis, 1,400 Nyawa Dibantu – Komitmen Abang Johari Perkukuh Akses Kesihatan Rakyat Sarawak

MIRI: Lebih 800,000 sesi rawatan dialisis dalam tempoh tiga dekad, memberi manfaat kepada lebih 1,400 pesakit buah pinggang. Angka luar biasa ini bukan sekadar pencapaian perubatan, sebaliknya mencerminkan perjuangan berterusan menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan ribuan keluarga di utara Sarawak.

Komitmen memperkukuh akses kesihatan rakyat terus mendapat perhatian kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerusi pelancaran Pusat Dialisis Buah Pinggang (KDC) kedua Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri di Permyjaya.

Pengerusi KDC merangkap Penasihat BSMM Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sejak ditubuhkan pada 1996, pusat berkenaan berkembang menjadi antara kemudahan rawatan penting di wilayah utara Sarawak, kini mengendalikan 319 pesakit dengan 114 mesin dialisis di dua pusat, termasuk 38 mesin di Permyjaya.

Kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Miri, malah menjadi tempat bergantung pesakit dari Marudi, Subis, Bekenu dan Niah, termasuk mereka yang memerlukan rawatan sementara ketika berada di bandar raya berkenaan.

Di sebalik angka tersebut, tersimpan kisah perjuangan hidup yang cukup menyentuh hati. Tiga pesakit dilaporkan telah menjalani rawatan selama 28 tahun, manakala pesakit tertua yang masih menerima rawatan kini berusia 88 tahun.

Menurut Lee, rawatan dialisis bukan sekadar memanjangkan hayat, tetapi memberi peluang kepada pesakit untuk terus bersama keluarga dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Dalam menghadapi peningkatan kos perubatan, BSMM Miri terus mengekalkan caj RM150 bagi setiap sesi sejak 1996, walaupun kos sebenar kini mencecah kira-kira RM190.

Lebih 95 peratus pesakit menerima subsidi daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan kebajikan, malah sebahagiannya hanya perlu membayar serendah RM10 setiap sesi.

Bagaimanapun, dengan kos operasi tahunan sekitar RM8 juta, kedua-dua pusat berkenaan masih memerlukan tambahan dana kira-kira RM2.5 juta setahun bagi memastikan kesinambungan rawatan.

Pelancaran pusat baharu oleh Abang Johari turut menyerlahkan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat dalam memperluas perkhidmatan kesihatan, khususnya kepada pesakit yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

Kemajuan Sarawak bukan sekadar diukur melalui pembangunan fizikal dan kekuatan ekonomi, tetapi juga keupayaan memastikan rakyat yang berdepan penyakit kronik tidak terpinggir daripada mendapatkan rawatan.

Lebih membuktikan komitmen tersebut, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari telah menyalurkan RM3 juta pada 2019 serta menyediakan tanah bagi membantu merealisasikan pembangunan KDC Permyjaya bernilai kira-kira RM10 juta.

Usaha itu diperkukuh melalui peruntukan RM4 juta dalam Belanjawan Sarawak 2026 bagi membantu pesakit buah pinggang, khususnya golongan B40 dan M40.

Kerajaan Sarawak turut menyediakan bantuan pengangkutan RM50 bagi setiap sesi dialisis kepada pesakit luar bandar yang layak, sekali gus membantu mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Keperluan bantuan ini semakin mendesak apabila Sarawak merekodkan antara 700 hingga 800 kes baharu penyakit buah pinggang setiap tahun, dengan lebih 4,800 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis di seluruh negeri.

Daripada RM3 juta untuk pembangunan pusat dialisis hingga RM4 juta bantuan pesakit pada 2026, pendekatan pentadbiran Abang Johari memperlihatkan usaha memperkukuh jaringan keselamatan kesihatan rakyat secara berterusan.

Bagi ratusan pesakit yang bergantung kepada mesin dialisis untuk meneruskan kehidupan, setiap sesi rawatan membawa satu harapan iaitu peluang untuk terus hidup, bersama keluarga dan menyaksikan hari esok.

Inilah dimensi pembangunan Sarawak yang turut perlu diberi perhatian: bukan hanya membina negeri yang maju, tetapi memastikan rakyatnya terus mendapat peluang untuk hidup dengan lebih sejahtera.

#TheGreatHornbill #AbangJohari #PremierSarawak #SarawakMajuMakmur #Sarawak2030 #BSMMMiri #PusatDialisis #KesihatanRakyat #SarawakPrihatin #UtamakanRakyat

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.