Rabu, 23 September 2026
Terkini
Politik

Belanjawan 2027 Tentukan Hala Tuju SOE Sarawak, Perkukuh Penciptaan Nilai Ekonomi

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menentukan hala tuju syarikat milik kerajaan negeri (SOE), termasuk entiti yang tidak lagi mempunyai fungsi atau nilai strategik, menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurusan aset dan ekonomi negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan berhubung kedudukan SOE perlu dibuat berdasarkan kepentingan jangka panjang Sarawak serta keupayaan setiap entiti untuk mencipta nilai.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah SOE yang berpotensi tidak lagi menerima suntikan dana kerajaan dan meminta semua pihak menunggu pembentangan Belanjawan Sarawak 2027.

“Itulah hala tuju dasar kita. Tunggu Belanjawan; ia belum dibentangkan lagi,” katanya selepas merasmikan Program Transformasi SOE Sarawak: Ikrar Tadbir Urus Baik, Prestasi Tinggi dan Penciptaan Nilai Fasa 2 pada Selasa.

Menurut Abang Johari, Sarawak bersedia mempertimbangkan konsolidasi, penggabungan dan penstrukturan semula beberapa SOE bagi memastikan struktur, aset serta pelaburan kerajaan dapat menjana nilai lebih besar kepada negeri.

Kajian Fasa 2 Program Transformasi SOE Sarawak turut mengenal pasti beberapa kemungkinan termasuk penggabungan, penambahbaikan dan pemfokusan semula entiti tertentu.

Antara yang sedang dipertimbangkan ialah penyatuan beberapa lembaga pelabuhan di bawah Sarawak Ports Authority (SARPA).

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan perlu melalui kajian kebolehlaksanaan, usaha wajar serta penilaian teliti, khususnya apabila terdapat pertindihan mandat dan fungsi atau struktur yang tidak lagi berkesan memenuhi keperluan semasa.

“Jika struktur sedia ada adalah yang terbaik, perkukuhkannya. Jika ia boleh diperbaiki, perbaikilah. Jika dua organisasi mampu mencipta nilai lebih besar dengan bekerjasama, satukan mereka. Jika sesebuah organisasi perlu kembali kepada mandat terasnya, fokuskan semula kepadanya,” katanya.

Beliau menegaskan penstrukturan SOE bukan dilakukan semata-mata untuk mengecilkan organisasi, sebaliknya bagi memastikan modal, bakat dan aset Sarawak dapat disalurkan kepada sektor yang mempunyai kelebihan daya saing serta potensi pertumbuhan lebih tinggi.

Kajian berkenaan turut mengenal pasti anak syarikat yang tidak aktif, tidak beroperasi dan berprestasi rendah yang memerlukan perhatian.

Menurut Abang Johari, sesebuah entiti tidak seharusnya terus dikekalkan hanya kerana pernah mempunyai fungsi pada masa lalu sekiranya ia tidak lagi memberikan nilai strategik kepada negeri.

Pada masa sama, transformasi SOE memerlukan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan kerana beberapa cabaran melibatkan dasar, peraturan, pembiayaan, infrastruktur, penyelarasan antara agensi serta kekangan pasaran.

Beliau memberi contoh kadar fi kawal selia Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang tidak disemak selama lebih 30 tahun, sekali gus menunjukkan keperluan kerangka berkaitan dinilai semula bagi memperkukuh hasil dan kemampanan kewangan.

Pendekatan transformasi berkenaan mencerminkan penekanan Kerajaan Sarawak terhadap tadbir urus, kecekapan dan penciptaan nilai dalam pengurusan aset negeri, dengan hala tuju seterusnya dijangka diperincikan menerusi Belanjawan Sarawak 2027.

#Sarawak #BelanjawanSarawak2027 #TransformasiSOE #EkonomiSarawak #AbangJohari #PembangunanSarawak #TadbirUrus

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Politik