Belanjawan 2027: Sarawak Harap Hasil Rundingan MA63 Diterjemah Kepada Tindakan

KUCHING: Sarawak menaruh harapan agar Belanjawan 2027 bukan sekadar membawa angka peruntukan baharu, tetapi menjadi ruang untuk menterjemahkan perkara yang telah dibincangkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada pelaksanaan yang dapat dirasai rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perhatian khusus diharapkan diberikan kepada suntikan peruntukan kepada Sarawak susulan perkara yang telah dibincangkan dalam kerangka MA63.
“Harapan kita supaya apa yang telah dibincangkan dalam MA63 dapat dilaksanakan dari sudut suntikan (peruntukan). Peruntukan dijangka ada peningkatan,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 9 Oktober 2026. Kementerian Kewangan turut menyatakan dalam Kenyataan Prabelanjawan bahawa usaha merapatkan jurang pembangunan wilayah akan memberi tumpuan kepada Sabah, Sarawak serta kawasan desa dan pedalaman.
Harapan Sarawak itu hadir ketika pelaksanaan MA63 terus menjadi antara agenda penting hubungan Persekutuan-Sarawak. Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada 11 September lalu turut membincangkan beberapa perkara termasuk pemberian khas, Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan dan isu perwakilan Parlimen Sabah serta Sarawak.
Pada masa sama, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kewangan telah mengadakan libat urus dalam penyediaan Belanjawan 2027, meliputi isu kos sara hidup, perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas.
SOE SARAWAK MENUJU BERDIKARI
Dalam perkembangan berasingan, Abang Johari memberi isyarat bahawa transformasi syarikat milik Kerajaan Sarawak (SOE) akan memasuki tahap lebih tegas.
Kerajaan negeri, katanya, sedang menilai semula keperluan suntikan dana kepada beberapa SOE, dengan sebahagian daripadanya dikenal pasti berkemungkinan tidak lagi bergantung kepada pembiayaan kerajaan.
Langkah itu selaras dengan hala tuju transformasi SOE ke arah keberdikarian kewangan, tadbir urus lebih kukuh dan penciptaan nilai.
“Dah dikenal pasti. Ada beberapa SOE yang akan diketahui. Seperti yang saya jelaskan tadi, itu adalah hala tuju dan dasar kita. Tunggu bajet dulu,” katanya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
#Belanjawan2027 #MA63 #Sarawak #AbangJohari #KerajaanSarawak #HakSarawak #PembangunanSarawak #SarawakMajuMakmur #SOESarawak #TransformasiSarawak #Malaysia1963 #TheGreatHornbill
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan