Sarawak Menuju Kuasa Besar AI Asia: Pelaburan RM4.07 Bilion Softbank, Grab Dan Petros Perkukuh Visi Abang Johari

KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah sebagai kuasa ekonomi digital baharu Asia apabila tiga gergasi industri, SoftBank Group, Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) merancang pelaburan awal bernilai AS$1 bilion (RM4.07 bilion) bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia di negeri ini.
Perkembangan bersejarah itu memperkukuh hala tuju transformasi ekonomi yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam menjadikan Sarawak peneraju teknologi tinggi, tenaga mampan dan ekonomi digital serantau.
Menerusi Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) yang dimeterai, SoftBank bakal menyumbang AS$800 juta, manakala Grab dan PETROS masing-masing AS$100 juta.
Lebih luar biasa, kerjasama ini menyasarkan kapasiti pengkomputeran AI sehingga lima gigawatt (5 GW) dalam jangka panjang, sekali gus berpotensi menjadikan Sarawak antara pusat infrastruktur AI terbesar di Asia.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group, Masayoshi Son menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang mewujudkan pertumbuhan ekonomi berteraskan teknologi yang berkekalan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Datuk Anthony Tan pula mengiktiraf kelebihan tenaga mampan dan wawasan jangka panjang Sarawak sebagai faktor utama yang menjadikan negeri ini lokasi strategik bagi pembangunan AI di Asia Tenggara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie menegaskan bahawa inisiatif tersebut bakal mempercepat transformasi ekonomi Sarawak melangkaui kebergantungan tradisional terhadap minyak dan gas.
Pelaburan ini turut berpotensi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh kepakaran tempatan serta merancakkan pembangunan industri robotik, pengkomputeran termaju dan teknologi digital.
Projek berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menjadi tunjang agenda pembangunan ekonomi Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari.
Daripada kekayaan sumber tenaga kepada peneraju teknologi masa depan, Sarawak kini semakin hampir merealisasikan cita-cita menjadi hab AI bertaraf dunia.
Pelaburan yang dicadangkan ini masih tertakluk kepada pelaksanaan berperingkat dan pemenuhan syarat pembangunan serta komersial.
Di bawah visi Abang Johari, Sarawak bukan sekadar mahu mengikuti arus revolusi teknologi dunia, tetapi berhasrat menjadi antara pusat yang memacunya.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan